Saturday, April 25, 2009

Ceritera Di Majlis Perkahwinan

Hari yang ku tunggu-tunggu telah tiba. Tanggal 16 November 2008 merupakan hari yang paling bersejarah dalam hidupku iaitu hari di mana berlangsungnya majlis perkahwinan ku dengan suamiku yang tercinta. Majlis dibuat sama sehari  dengan majlis di sebelah suamiku.

..........................................................................

Mengimbas kembali persiapan yang dibuat sebelum menjelangnya majlis bersejarah ku itu, semua sanak saudara ku sibuk untuk memastikan segala persiapan siap sedia. Aku juga turut turun padang untuk membantu mana-mana yang patut. Bertempat di rumah ayahku,di mana majlis perkahwinan ku berlangsung, aku melihat ayah ku telah membeli set bilik tidur khas untukku. Aku merasa amat terharu melihatnya. Di sana, aku melihat Kak Dah(kakak sulungku), abg ku, Kak Ani dan Kak Siah, sanak saudara ku yang terdekat dan Ibu Tiriku bersama sanak saudara tiriku begitu sibuk menyiapkan segala persiapan iaitu, bilik pengantin, bunga telur, hantaran dan lain-lain sebelum menjelangnya esok hari.

..........................................................................

16 November 2008 pada sebelah paginya, aku dari rumah kakak ku telah dibawa ke tempat make-up di Alor Setar. Perasaan ku pagi itu sudah tidak keruan, perut ku jugak tidak dapat menerima sarapan yang ku paksa untuk makan. Rasa seperti nak terkeluar isi perutku. Jantungku juga berdegup kencang.

..........................................................................

Setelah selesai aku bersiap,aku dibawa ke rumah ayahku. Di sana,sudah ramai yang datang termasuk sahabat-sahabat serumahku iaitu Kak It, Kak Naim, Kak Farah dan Kak Suzi. Sesampainya aku di sana, perasaan ku sedikit lega kerana aku ditemani sahabat-sahabatku dan anak saudaraku iaitu Kak Yong. Sementara menantikan rombongan pengantin lelaki tiba, aku memulakan sesi bergambar bersama ayahdaku, sahabat-sahabatku dan anak-anak saudaraku. Saat aku bergambar bersama ayahku, aku merasa sangat sedih kerana saat itu aku sudah dipertanggungjawabkan kepada suamiku dan, bukan ayahku lagi. Buat ayah dan Kak Ani, jutaan penghargaan terima kasih kerana menjaga ku selama ini.

..........................................................................

Jam 12.30 tengahhari, tibalah rombongan pengantin lelaki ke rumah ayah ku. Saat itu, merupakan satu-satunya saat yang sangat mendebarkan. Hanya Allah yang tahu bagaimanakah perasaan ku pada ketika itu. Sangat mendebarkan. Tambahan pula, pengapit ku iaitu Azira belum sampai pada ketika itu. Tetapi mujurlah Kak It sudi menjadi pengapitku sementara menunggu Azira sampai. Aku terus keluar pergi menyambut rombongan suamiku, saat itu, kurasakan mahu jatuh kerana ramai mata yang memandang kami. Saat itu, aku sudah tidak dapat melihat dengan jelas siapa yang berada di sekelilingku. Maaf kepada semua jika saat itu aku tidak bertegur sapa dengan anda.  Setelah menyambut suamiku dan rombongannya, kami berdua ke sesi bergambar dan kemudian ke sesi menjamu selera.

..........................................................................

Semasa menjamu selera, dari jauh aku dapat melihat kelibat jemputan-jemputan yang aku kenali iaitu saudara maraku serta rakan sekerjaku iaitu En.Haris sekeluarga, En.Khodir, En. Hashim sekeluarga, En. Razalli sekeluarga serta sahabat baikku dari sekolah lagi iaitu Ana sekeluarga.  Sementara sedang menjamu selera, aku melihat kelibat Azira sekeluarga. Alhamdulullah mereka sekeluarga selamat tiba. Buat pertama kalinya, makanan yang begitu enak tidak aku sentuh langsung. Entahlah kenapa ku rasakan tekak  ku pada  hari tersebut  tidak mahu menerima apa jua jenis masakan walaupun ianya nampak menyelerakan.  Mungkin perasaan ku yang begitu  mendebarkan kerana hari itu adalah hari bersejarah buatku. Ku lihat suamiku juga tidak menjamah banyak. Mungkin begitu juga agaknya perasaannya pada ketika itu. Setelah selesai semuanya di rumah ayah ku, kami  mula meninggalkan majlis tersebut. Ketika hendak keluar dari rumah ayahku, kulihat jiran di rumah lamaku(Kak Yah) di kampung dan sahabat karibku iaitu Neza(sahabat yang mula ku kenali semasa di universiti) datang bersama dengan tunangnya iaitu Hasrul. Mereka mengikut kami ke rumah suamiku. Buat semua yang sudi datang ke majlis kami, ku ucapkan jutaan terima kasih . Buat semua yang tidak dapat aku jumpa kerana aku bertolak awal, jutaan kemaafan kerana tidak dapat bertemu dengan kalian dan terima kasih juga ku ucapkan kerana sudi datang ke majlis ku.

.......................................................................... 

Setibanya di rumah suamiku, dari jauh ku dengar lagu-lagu kahwin yang diputarkan. Sungguh syahdu kedengaran. Di sana aku melihat  Pae, Syima dan Asri telah pun tiba menunggu kedatangan kami. Meraka ada lah teman-teman ku yang begitu baik. Terima kasih jua kepada mereka yang sudi datang dari jauh. Jemputan dari pihak ku yang datang ke sini ialah, pengapit kami, abgku, abg-abg iparku, sahabat-sahabat serumahku, serta saudara-saudara ku. Di sini, sebelum mulanya majlis makan, kami memulakan sesi bergambar kenangan bersama semua saudara mara dan sahabat handai. Kemudian, tibalah pula ke majlis makan-makan. Sama juga situasinya, tekak ku juga tidak dapat menerima apa jua makanan walaupun, semua makanan yang disajikan sangat menarik pandangan mata. Tetapi walaubagaimana pun, aku bersyukur kerana majlis kami berdua pada hari tersebut berjalan dengan lancar dan meriah. Alhamdulillah syukur. Buat suamiku, aku ingin kau tahu bahawa ‘saya sangat menyayangi dan mencintai abang sepenuhnya’. Semoga kehidupan kita bahagia sehingga ke akhir hayat,amin….

Oleh : Nurul Huda Bt. Abd. Kadir @ Saad

1 comment:

Sebahagian Koleksi Gambar Perkahwinan