Alhamdulillah, sejurus selepas selesai solat asar secara berjemaah di Masjid Kuar Jawa bersama- sama rombongan pengantin, ketika jam hampir melewati 5 petang, pada tanggal 14 november 2008 yang juga bersamaan 16 Zulkaedah 1429, kami akhirnya telah selamat diijabkabulkan oleh Imam Masjid Kampung Kuar Jawa, Alor Janggus, Kedah iaitu oleh Haji Zakaria Bin Aziz, di dihadapan 2 orang saksi, setelah dipersetujui oleh wali isteriku iaitu ayahnya, Hj. Abdul Kadir @ Saad bin Osman @ Abdul Rahman.
..............................
Mengimbas kembali perasaan aku ketika berada dihadapan Imam, hanya kata- kata “Hanya Allah yang tahu”, dapat aku nukilkan untuk menggambarkan betapa berdebarnya jantung aku ketika itu. Setelah selesai melafazkan dua kalimah syahadah beserta terjemahannya, dan membacakan rukun nikah sepertimana yang diminta oleh Imam untuk aku menyebutnya, maka kemudiannya tangan aku digenggam kemas oleh Imam, seraya mengajar aku untuk melafazkan kata- kata keramat yang bakal mengubah status dan tanggungjawab aku buat selama- lamanya. Ini lah saatnya! Dengan lambat tapi jelas, bait- bait keramat itu mula difazakan oleh Imam sehingga selesai, dan pada saat Imam menghentak sedikit tangan aku, maka aku pun dengan segera membalasnya dengan berkata “Aku terima nikahnya Nurulhuda Binti Abdul Kadir atau Saad dengan mas kahwinnya Lima Ratus Lapan Puluh Empat Ringgit, tunai!”
..................................
Itulah lafaz kedua aku yang telah disepakati akan sahnya oleh saksi- saksi. Subhanallah. Kata- kata yang sesingkat itu telah menyatukan kami dunia dan akhirat. Maha suci Allah! Aku kini telah bergelar seorang suami, kepada isteri ku, Nurulhuda Bt. Abdul Kadir @ Saad. Sebuah cinta yang telah bersemi sejak dibangku universiti, kini telah mekar diijabkabulkan. Alhamdulillah.
Oleh : Muhamad Kamalrulzaman Bin Zainol
Saturday, April 11, 2009
Detik- detik Pernikahan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)

No comments:
Post a Comment